PBS komited setia bersama GRS
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal komited dan akan terus setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata, perjuangan politik GRS seperti diperinci Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri ketika pelancaran gabungan politik itu bulan lalu, terus berpaksikan rakyat.
Beliau berkata, PBS menghargai hasrat Parti Warisan (WARISAN) untuk bekerjasama dengan PBS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun parti berbilang kaum tertua di Sabah itu memilih kekal bersama GRS dan perjuangan gabungan politik berkenaan.
“PBS menghargai gerak isyarat politik WARISAN dan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bekerjasama serta berkolaborasi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Bagaimanapun, sebagai parti berbilang kaum tempatan yang berpengalaman, kami komited sepenuhnya dan benar-benar setia sebagai ahli asas GRS serta rakan kongsinya.
“Kami menjemput WARISAN dan penyokongnya berpegang kepada matlamat sama untuk benar-benar membangunkan Sabah serta menjadikan ia negeri yang makmur, selamat dan bebas daripada pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 11 Mei tahun lalu, Mohd Shafie dilaporkan berkata, WARISAN berhasrat menjalin kerjasama dengan PBS dalam semangat memperjuang kepentingan rakyat Sabah dan Ahli Parlimen Semporna itu mengulangi pendiriannya semalam bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan PBS pada PRU-15.
Ongkili berkata, mana-mana parti politik tempatan di Sabah boleh berpegang kepada matlamat dan aspirasi GRS tanpa perlu menyertai gabungan itu.
Beliau berkata, langkah mengadakan kerjasama dan kolaborasi politik sedemikian tidak pernah begitu mendesak berbanding sebelum ini terutama dari segi kerjasama dan solidariti dalam perpaduan politik bukan hanya di Sabah tetapi juga di Sarawak iaitu Borneo Malaysia.
Sementara itu, Mohd Shafie pada sidang media di pejabat parti itu hari ini pula berkata, terpulang kepada PBS yang menolak untuk bekerjasama dengan WARISAN.
“Saya sebenarnya melihat hanya parti itu yang sesuai bekerjasama dengan WARISAN… Apa yang kita mahu adalah gabungan parti tempatan seperti dilakukan di Sarawak supaya kita kuat untuk menuntut hak Sabah,” katanya. – BERNAMA