Rakyat bakal peroleh manfaat jika Matunggong menjadi daerah penuh
KOTA KINABALU: Matunggong mempunyai potensi ekonomi besar jika dinaik taraf menjadi sebuah daerah penuh dan manfaatnya bakal dinikmati oleh rakyat.
Ahli Dewan Undangan Rakyat (ADUN), Matunggong Datuk Julita Majungki berkata, pada masa ini kajian penuh untuk menaik taraf Matunggong dari daerah kecil kepada daerah penuh akan dimulakan dalam masa terdekat.
Katanya, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.
“Penduduk Matunggong sendiri mengimpikan daerah ini dinaikkan taraf sebagai daerah penuh kerana bakal memberikan manfaat yang cukup besar terutama dalam pembangunan ekonomi dan urusan harian penduduk.
“Sudah tiba masanya daerah kecil Matunggong dinaik taraf demi kebaikan rakyat daripada 157 kampung yang ada sekarang ini.
“Matunggong yang mempunyai lebih kurang 35,000 penduduk terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik seperti Rungus yang merupakan penduduk majoriti (70 peratus), Bajau (15 peratus), Irranun/Ubian (10 peratus) dan lain-lain (5 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas
menghadiri Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Ahmad Shah Mohd Sunoh, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Julita yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat
turut menambah Matunggong berada di bawah pentadbiran daerah Kudat dan sebahagian kampung yang lain pula di bawah pentadbiran daerah Kota Marudu.
Menurutnya, kajian yang bakal dilakukan itu akan mengambil kira anjakan pembangunan di kawasan ini, penetapan sempadan dan kesan terhadap daerah Kudat dan Kota Marudu.
“Semua itu diambil kira dan pada dasarnya daerah Kudat dan Kota Marudu tiada halangan untuk menyokong pewujudan daerah Matunggong.
“Kajian terbabit juga mengambil masa lebih kurang enam bulan akan dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) melibatkan temuramah jabatan serta penduduk dalam kawasan tersebut.
“Kita yakin Matunggong mempunyai potensi ekonomi yang besar jika dibangun secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, Julita menghadiri Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Ahmad Shah Mohd Sunoh.
Tamat