Saringan COVID-19 di Pasir Putih, Tawau lancar
TAWAU 30 JUN 2021: Program Saringan Bersasar Covid-19 yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau ke atas penduduk Kampung Pasir Putih Baharu yang bermula jam 9.00 pagi hari ini berjalan lancar dengan sambutan yang memberangsangkan. Berdasarkan rekod, kampung ini telah beberapaa kali dikenakan PKPD sejak April 2021, iaitu PKPD-1 pada 1 sehingga 14 April 2021, PKPD-2 pada 15 hingga 28 April 2021, PKPD-3 pada 29 April hingga 12 Mei 2021 (Disingkatkan) dan terkini PKPD-4 bermula 27 Jun hingga 10 Julai 2021.
Menurut En. Alkuhshahry selaku Pegawai Kesihatan bertugas, saringan yang dilakukan pada hari ini telah berjaya mengumpulkan sampel dari penduduk seramai 691 orang dengan pecahan saringan RTK Ag sebanyak 628 sampel dan saringan RT PCR sebanyak 63 sampel. Kampung Pasir Putih Baharu mempunyai penduduk seramai 3,500 orang.
Terdahulu, pihak Jabatan Penerangan Daerah Tawau (Pusat Maklumat Rakyat) juga dilihat membuat khidmat Program COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) & Info On Wheels (IOW) sekitar kampung.
YB Andi Muhammad Suryady selaku wakil rakyat DUN N.71 Tanjung Batu, berkesempatan meninjau perjalanan program saringan tersebut dan menyantuni para petugas kesihatan yang bertugas. Beliau mengharapkan agar semua penduduk di kampung tersebut dapat memberikan kerjasama bagi menamatkan PKPD yang sedang dikuatkuasakan. Menurutnya lagi, keluhan dari para penduduk yang kurang selesa dengan PKPD yang berulang di kampung ini sudah diambil maklum, dan di pihak ADUN akan berusaha membantu berdasarkan keperluan dan kapasiti yang selayaknya.
Program saringan ini akan diteruskan sehingga 3 Julai 2021 (Sabtu). Diharapkan penduduk yang belum sempat hadir ke Dewan Komuniti Kampung Pasir Putih Baharu pada hari ini agar meluangkan masa dalam beberapa hari berikutnya untuk disaring.