Tiada laporan mengenai ajaran sesat Hadi Minallah di Sabah – Arifin

KOTA KINABALU: Setakat ini, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) belum menerima apa-apa laporan mengenai kumpulan yang menjalankan kegiatan ajaran sesat di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, belum ada laporan dari mana-mana pihak mengenai perkara tersebut di negeri ini.

“Setakat ini, saya belum terima laporan, bagaimanapun saya akan dapatkan maklumat dari bahagian Penguatkuasa JHEAINS, pegawai pentadbiran daerah-daerah dan saya minta supaya melihat perkara ini selepas itu kita membuat ketetapan melalui JHEAINS dan Pejabat Mufti Negeri Sabah.

“Justeru, pemantauan akan kita buat di seluruh daerah, kita ada pegawai tadbir di sana, imam-imam di masjid-masjid dan guru-guru agama juga perlu peka terhadap perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Peperiksaan Sijil Menengah Ugama 2021 di Dewan Saadah, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai sekiranya mendengar kegiatan yang canggung atau tidak sesuai, laporkan kepada JEHAINS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Pejabat Mufti.

“Apa-apa pun ajaran yang bertentangan dengan sunnah wal jamaah, segera buat laporan kepada MUIS dan JHEAINS, jabatan ini akan ambil tindakan,” tegasnya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melaporkan telah mengesan cubaan untuk membawa ajaran sesat Hadi Minallah, masuk ke negeri itu untuk disebarkan kepada masyarakat di Kota Tinggi. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *