Ribuan penduduk tidak mendapat bekalan air sejak Jumaat

KOTA KINABALU: Ribuan penduduk di beberapa kawasan termasuk Tuaran, Sepanggar serta Manggatal tidak mendapat bekalan air bersih sejak Jumaat lalu disebabkan gangguan berterusan di Loji Rawatan Air  Telibong Tamparuli.

Rata-rata penghuni terpaksa membeli air minuman untuk menampung keperluan harian di kediaman masing-masing termasuklah premis perniagaan sekitar kawasan terjejas terbabit.

Gangguan air itu didakwa dialami oleh penghuni di beberapa taman perumahan termasuk Bandar Sierra, Taman Rimba serta University Apartment (UA) manakala terdapat juga premis perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan tidak dapat beroperasi disebabkan ketiadaan bekalan air.

Seorang suri rumah Rina Wahid ibu kepada tiga orang anak berkata perbelanjaan harian mereka meningkat sejak beberapa hari lalu disebabkan masalah bekalan air itu.

โ€œDua daripada anak saya masing-masing berumur tiga dan empat tahun sudah pandai menggunakan tandas apabila hendak membuang air bagaimanapun sejak dua hari lalu mereka terpaksa memakai lampin pakai buang disebabkan ketiadaan air dalam tempoh agak lama.

โ€œKami juga terpaksa menggunakan air mineral untuk kegunaan harian dan lebih parah semua kedai berdekatan tidak lagi menjual air mineral terbabit disebabkan kehabisan bekalan.

โ€œSejak empat hari kebelakangan ini saya tidak lagi memasak dan hanya membeli makanan di restoran serta membuat pesanan secara dalam talian. Buat masa ini kami sudah menghabiskan ratusan ringgit walaupun kurang tempoh seminggu,โ€ katanya.

Rina yang tinggal di Taman Rimba itu kecewa dengan keadaan terbabit dan berharap agar pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah ini dengan cekap lebih-lebih lagi bulan Ramadhan bakal tiba.

Seorang lagi penduduk di taman perumahan berhampiran Tony Paridi mendakwa sudah seminggu tidak mendapat bekalan air dan masalah ini sudah dialami sejak lima tahun lalu.

โ€œKami dimaklumkan dengan perkara sama saban tahun bagaimanapun tiada tindakan drastik yang dilaksanakan bagi menamatkan masalah air ini.

โ€œPenghuni juga terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membeli tangki air sendiri bagaimanapun bekalan air ini akan habis jika tidak mendapat bekalan harian secara konsisten,โ€ katanya.

Jumaat lalu Jabatan Air Negeri Sabah mengeluarkan notis mengenai gangguan air ini yang akan menjejaskan beberapa kawasan terutama Sepanggar dan Tuaran. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *