Tekanan air rendah membelenggu penduduk Taman Seri Maju

KOTA KINABALU: Pengalaman berulang-alik mengangkut lapan gelen air dari tingkat bawah ke tingkat empat Apartment Taman Seri Maju Sepanggar di sini bukanlah suatu kisah menarik bagi Abd Nazir Maning, 42, tetapi itulah yang terpaksa dilaluinya sejak dua minggu lalu.

“Saya terpaksa mengangkat air dari tingkat bawah ke tingkat empat dua kali sehari kerana tekanan air rendah sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini tidak banyak masalah kalau adapun masalah air paling lama satu minggu, bekalan air kembali kepada keadaan normal,” katanya.

Namun jelasnya, masalah tekanan air rendah itu sudah berlarutan sejak dua minggu lepas dan penduduk sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkaitan tetapi mereka salahkan pemaju kerana kononnya tidak menyediakan tangki.

Beliau difahamkan masalah sama juga turut dihadapi penduduk di Bandar Sierra, Kampung Bandulan, University Apartment dan lain-lain lagi.

Menurutnya, setiap hari beliau terpaksa mengambil air sebanyak lapan gelen berisi 20 liter dua kali sehari untuk kegunaan keluarganya mandi dan sebagainya.

“Kami terpaksa membeli air mineral untuk minuman dan memasak,” katanya yang tinggal di Taman Sri Maju sejak 2004 lagi.

Beliau berkata, masalah tekanan air yang rendah itu turut dialami oleh penghuni 12 blok di Taman Sri Maju.

Katanya, setiap petang penduduk terpaksa berbaris menunggu giliran mengisi air dari tangki air di bawah apartment tetapi ia tidak mencukupi.

Abd Nazir sendiri menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Yakub Khan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai masalah air itu.

Katanya, Datuk Yakub memberikan respon dengan menyatakan beliau mengadakan perbincangan bersemuka dengan Menteri Kerja Raya dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah untuk mencari penyelesaian masalah berkenaan.

“Namun sehingaa kini, belum ada jalan penyelesaian yang diberikan untuk mengatasi masalah bekalan air ini,โ€ katanya.

Beliau juga menghubungi Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman namun beliau tidak memberikan respon tetapi  difahamkan pihaknya ada menghantar bekalan air menggunakan lori tangki.

Katanya, penduduk Taman Sri Maju mahukan kerajaan membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang membebankan penduduk ย dan menjejaskan kehidupan harian mereka. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *