Sabah tidak benarkan rentas daerah mulai Isnin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini hingga 16 Mei kecuali atas urusan kecemasan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata dalam tempoh itu juga Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas daerah semasa tempoh dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, Sabah membenarkan aktiviti rentas daerah membabitkan enam zon di seluruh negeri.

Bagaimanapun, Masidi berkata, aktiviti takbir raya di masjid dan surau adalah dibenarkan termasuk jamuan selepas solat Aidilfitri dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus serta diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau juga dibenarkan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri Sabah, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan golongan berisiko tinggi tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, bagi ziarah tanah kubur turut dibenarkan tidak melebihi enam orang, had masa tidak melebihi 30 minit dan penjarakan fizikal.

Bagi aktiviti ziarah, Masidi berkata, ia dibenarkan dengan syarat hanya di kalangan ahli keluarga terdekat dengan tidak melebihi 20 orang, tinggal dalam lingkungan daerah sama dan tertakluk kepada saiz kapasiti rumah.

Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 69 kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif 58,580 kes, manakala seramai 141 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif adalah 57,387 orang. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *