Kerajaan bangunkan platform GoBiz bantu usahawan tempatan Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah melaksanakan inisiatif dengan membangunkan platform e-dagang, GoBiz bagi membantu usahawan tempatan.
Menterinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pihaknya mengambil langkah membangunkan platform terbabit untuk meningkatkan pemasaran produk buatan tempatan di samping membantu usahawan Sabah memasarkan produk mereka sehingga ke peringkat global.
“Melalui platform ini, ia akan dapat menambah pendapatan mereka dan dapat mengurangkan beban serta kos pembiayaan mereka semasa pandemik COVID-19 ini.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah sudah menerima lebih 500 permohonan penyertaan di seluruh Sabah dan setakat ini, sebanyak 1,000 produk telah dikenalpasti.
“Saya percaya dan yakin ramai usahawan baru dan lama akan menyertai program ini dan mendapat banyak manfaat daripada platform ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas majlis Pelancaran Platform E-Dagang GoBiz bertempat di Wisma Kewangan, hari ini.
Sementara itu, beliau turut berkata pihaknya juga mengakui pembangunan platform terbabit juga akan disertai dengan pelbagai cabaran.
“Sudah pasti kita akan menghadapi banyak lagi cabaran lain. Antaranya adalah risiko kualiti produk yang dijual tidak memuaskan, masalah teknikal, cabaran berkomunikasi di antara penjual dan pembeli, dan sebagainya.
“Apa jua pun masalah dan cabaran yang bakal dihadapi, pihak kerajaan dan pemaju GoNet bersedia untuk mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin demi memastikan kualiti platform ini dijaga,” katanya.
Menurut Joachim, GoBiz adalah salah satu perkhidmatan yang terdapat dalam aplikasi GoNet yang boleh didapati secara muat turun dalam Apps store dan Google Play.