Hajiji sertai solat jenazah mantan Speaker DUN Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyertai solat jenazah mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Tan Sri Mohd. Sunoh Marso di Masjid Negeri,  di sini, hari ini.

Hajiji tiba kira-kira 9.50 pagi di masjid berkenaan dan menunaikan solat jenazah bersama para pemimpin negeri dan anggota keluarga Allahyarham.

Solat jenazah diimamkan Imam 3 Masjid Negeri, Ustaz Jefferddin Judin, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang, Sembulan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Tan Sri Mohd. Sunoh Marso pada 23 April 2021.

Katanya, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kerana beliau merupakan seorang pemimpin pada zamannya dan telah banyak menyumbang kepada negeri Sabah.

“Allahyarham pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk Speaker DUN Sabah”, katanya.
 
Allahyarham merupakan bapa kepada Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi.

Turut hadir ialah Speaker DUN Sabah Datuk Haji Kadzim Haji M Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *