Pekerja, kakitangan kerajaan diseru untuk tunaikan zakat pengajian

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Haji Mohd Arif, menyeru para pekerja, kakitangan kerajaan di negeri ini yang belum lagi menunaikan zakat pengajian mereka untuk berbuat demikian bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya setakat ini seramai 40,000 pekerja, kakitangan kerajaan telah menunaikan tanggungjawab membayar zakat pengajian masing-masing di Pusat Zakat Sabah (PZS), melibatkan jumlah keseluruhannya sebanyak RM39 juta.

“PZS telah mensasarkan untuk mengutip zakat pengajian lebih RM40 juta untuk tahun ini. Oleh itu, saya menyeru kepada pekerja-pekerja, kakitangan kerajaan agar menunaikan zakat pengajian mereka.

“Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), khususnya Bahagian Zakat dan Fitrah juga akan memberikan penjelasan, penerangan dan taklimat kepada semua dari daerah ke daerah agar dapat memberikan kesedaran kepada mereka untuk menunaikan zakat pengajian mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyampaian zakat perniagaan untuk tahun 2019, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM286,031.03, daripada empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Muis di Dewan Madani, Wisma Muis, Sembulan, di sini pada pagi Jumaat.

Ia melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM100,000, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)
berjumlah RM50,000, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MiDF) berjumlah RM100,000, dan MBSB Bank Berhad (MBSB) berjumlah
RM36,031.03.

Pembayaran zakat-zakat perniagaan tersebut diterima oleh Yang di-Pertua Muis, Datuk Seri Panglima Dr Haji Hasbullah Mohd Taha, daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Datuk IR Abdul Nasser Abdul Wahid bagi pihak TNB dan SESB, Pengurus MiDF Sabah, Sudirman Mohd Alwi, dan Pengurus Wilayah Sabah MBSB Bank, Ridwan Tenrinanran.

Mengucap syukar dan berterima kasih kepada syarikat-syarikat pembayar zakat tersebut, Mohd Arifin berharap GLC-GLC lain di negeri ini yang belum lagi menunaikan pembayaran zakat perniagaan mereka untuk tampil berbuat demikian.

PZS mensasarkan kutipan keseluruhan untuk tahun ini bagi zakat perniagaan, zakat pengajian dan zakat simpanan sebanyak RM90 juta. Setakat ini ia telah berjaya mengutip RM84 juta, semakin menghampiri sasaran tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Yang di-Pertua MUIS, Datuk Haji Matussin Ag Damit, dan Setiausaha/CEO MUIS, Encik Ramlan Awang Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *