Ketua Menteri Sabah minta rakyat kekalkan semangat harmoni, hadapi tahun baru dengan berani sempena Hari Natal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor meminta semua rakyat di negeri Sabah agar terus kekalkan semangat harmoni tanpa mengira kaum dan agama serta menghadapi tahun baharu dengan lebih berani.

Dalam satu kenyataan media perutusan beliau sempena Hari Natal dan Tahun Baru yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata pandemik COVID-19 membuatkan tahun ini menjadi tahun yang sangat mencabar.

“Dalam masa seminggu lagi, tahun baharu akan bermula dan walaupun 2020 adalah tahun sukar susulan pandemik itu, tetapi tahun baharu 2021 perlu dilihat dengan penuh harapan dan keberanian.

“Rakyat Malaysia dari pelbagai agama telah meraikan perayaan mereka dengan meriah ketika penularan pandemik ini dan saya percaya masyarakat Kristian di Sabah juga akan meraikan sambutan Hari Natal dengan semangat yang sama.

“Saya juga meminta rakyat untuk merenung sejenak persamaan yang selama ini menyatukan, kekal fokus membina semangat harmoni dan persefahaman antara kaum serta agama di Sabah, tanpa mengira perbezaan kepercayaan dan latar belakang 
 
“Marilah kita terus mengekalkan rasa hormat, kestabilan dan harmoni yang dibina oleh nenek moyang kita dan seterusnya untuk generasi akan datang. Inilah laluan ke arah perpaduan dalam kepelbagaian yang kita jalani selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut meminta agar rakyat sentiasa Sabah mengingati semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19 dan tidak melupakan golongan kurang bernasib baik.

โ€œKita sentiasa mendoakan mereka dan ahli keluarganya. Dalam masa sama, Hari Natal adalah masa untuk bergembira, berkat, memberi dan saling memaafkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

“Janganlah kita melupakan mereka yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan daripada kita.

“Selamat Hari Natal khususnya masyarakat Kristian yang meraikan perayaan ini dan Selamat Tahun Baharu kepada semua. Semoga musim perayaan ini akan membawa kedamaian, kemakmuran, semangat muhibbah dan kegembiraan kepada kita,” katanya.

Hajiji juga turut mengingatkan rakyat agar menjaga diri dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *