RM4.9 bilion untuk atasi isu berkaitan banjir di Sabah: Tuan Ibrahim

Oleh: Ranya Saai

KOTA BELUD: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana berjumlah RM4.9 bilion bagi mengatasi masalah berkaitan banjir, perparitan, saliran dan pembentungan di negeri Sabah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekurang-kurangnya terdapat 40 projek besar yang akan dilaksanakan bagi menangani isu terbabit.

Menurutnya, di bawah peruntukan terbabit, sebanyak RM13.36 juta diperuntukkan untuk 177 projek kecil saliran tersumbat membabitkan kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini.

“Kesemua projek berkenaan akan dikendalikan oleh agensi dan jabatan di bawah kendalian Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim juga memberitahu bahawa terdapat projek kecil yang ditentukan melalui cabut undi, bagi menyelesaikan masalah saliran yang seringkali tersumbat.

“Untuk masalah seperti tersumbat, ia berkemungkinan sebab lama tak diselenggara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kunjungan beliau ke Sabah adalah untuk meninjau dan mencari penyelesaian berkaitan masalah banjir khususnya yang berlaku di daerah Kota Belud.

“Sebab Kota Belud ini satu kawasan yang seringkali berlaku banjir, terutama selepas kejadian gempa bumi dahulu.

“Saya bersama dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran dan pegawai-pegawai kanan kementerian turun dengan lawatan kerja untuk kita pergi kawasan-kawasan yang seringkali terdedah dengan banjir dan kita bersama akan sentiasa mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika ditemui media turut memberitahu bahawa pihaknya juga telah membincangkan langkah yang perlu diambil bersama dalam usaha untuk menyelesaikan isu banjir di Kota Belud ketika sesi kunjungan hormatnya kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, semalam.

Hadir sama semasa kunjungan Tuan Ibrahim di Kota Belud pagi tadi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan, ADUN Tempasuk Mohd Arsad Bistari, ADUN Usukan Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *