Wanita main peranan penting dalam pentadbiran

KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM), Datuk Rosimah Zakaria menyambut baik pelantikan dua wanita untuk menerajui organisasi penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata pelantikan Noorliza Awang Alip sebagai wanita pertama Datuk Bandar Kota Kinabalu dan Datuk Nor Aisah Mohd Yusof sebagai Peguam Besar Negeri Sabah merupakan satu penghormatan untuk kaum wanita di negeri ini.

“Pelantikan itu sebagai satu pengiktirafan dan kepercayaan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kepada golongan wanita.

“Mereka ini berpengalaman dan memang layak menduduki dan menerajui pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Rosimah turut berkata langkah itu akan membuka mata diluar sana terutama sektor korporat untuk lebih banyak membuka peluang kepada wanita dan percaya golongan ini mampu memimpin sesebuah organisasi ke arah yang lebih baik

“Ini bukan penghalang golongan wanita untuk bergerak seiring dengan kaum lelaki,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.