Penggiat industri fotografi, videografi dan solekan serah memorandum kepada kerajaan negeri
KOTA KINABALU: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak sektor dan industri tidak dibenarkan beroperasi dan perkara ini tidak terkecuali menjejaskan penggiat industri fotografi, videografi dan solekan di negeri ini.
Isnin lepas, para penggiat industri fotografi, videografi dan solekan telah membuat satu sidang media khas bagi menyampaikan keluhan mereka yang terjejas teruk akibat PKP dan pada masa sama merayu kepada kerajaan negeri supaya memberikan mereka kelonggaran untuk beroperasi memandangkan mereka sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya perkara tersebut berlanjutan.
Ahkirnya hari ini, mereka (Komuniti Kreatif Sabah) telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Fairuz Renddan yang juga merupakan Ketua Armada BERSATU Negeri Sabah di pejabat Kementerian Kewangan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Turut sama, Exco Armada Nasional, Abqaree Fawwaz Abekan; Ketua Penerangan Armada Negeri Sabah, Fariz Fadhillah dan Ketua Penerangan Armada Sepanggar, Aliff Azmie.
Wakil industri, Mohd Daniel Ramadhan berkata kunjungan yang disertai kira-kira 10 orang terhadap Fairuz di PPNS bertujuan berbincang mengenai nasib Komuniti Kreatif Sabah yang ketika ini amat terkesan akibat tidak dibenarkan untuk beroperasi sejak pelaksanaan PKP.
Selain berbincang, Mohd Daniel dan rakan-rakan lain turut mencadangkan beberapa perkara kepada Fairuz untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri agar kerajaan negeri dapat memberikan pertimbangan untuk membenarkan mereka beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak daripada jangkitan dan penularan wabak COVID-19.
Dalam pertemuan itu, Mohd Daniel telah menyerahkan satu memorandum kepada Fairuz untuk diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengenai perkara itu dan berharap kerajaan negeri akan memberikan perhatian terhadap nasib golongan Komuniti Kreatif Sabah yang terjejas pendapatan ekoran PKP.
airuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan ketika dalam pertemuan itu turut memuji pendekatan yang diambil oleh penggiat industri fotografi, videografi dan solekan kerana telah menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan ‘suara’ mereka.
Jelas Fairuz, tindakan para penggiat industri fotografi, videografi dan solekan wajar dicontohi kerana tidak melakukan sebarang demontrasi tidak sihat untuk berkomunikasi dengan kerajaan negeri sebaliknya bertindak profesional melalui saluran yang betul.
Justeru Fairuz memberi jaminan kepada Komuniti Kreatif Sabah untuk menyampaikan ‘suara’ dan cadangan yang diutarakan mereka dalam pertemuan itu ke pengetahuan Ketua Menteri dan kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.
Mohd Daniel yang mewakili seramai kira-kira 1,000 penggiat industri (komersial termasuk secara bebas) di negeri ini berharap pertemuan yang diadakan di PPNS itu akan membuahkan hasil yang baik dalam masa terdekat.
“Syukur alhamdulilah, akhirnya suara kami (penggiat industri fotografi, videografi dan solekan) didengar oleh kerajaan negeri. Buat masa ini kita tunggu apa keputusan kerajaan negeri, mudahan mereka (kerajaan negeri) benarkan kami beroperasi, ” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo.
Sumber berita dipetik: Utusan Borneo Online