Jambatan gantung Kampung Gusi akan dibina semula

RANAU: Jambatan gantung di Kampung Gusi di sini, akan dibina semula bagi memudahkan penduduk ke kampung berhampiran, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Joachim berkata jambatan sepanjang 150 meter itu adalah satu-satunya penghubung bagi penduduk kampung untuk menyeberang sungai berkenaan.

“Tanpa jambatan itu, aktiviti ekonomi dan sosial penduduk kampung sudah pasti terjejas teruk. Sudah tentu sukar bagi mereka untuk mengangkut hasil pertanian selain menjejaskan pelajar untuk pergi ke sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Joachim melawat jambatan putus itu di Kampung Gusi, kira-kira 80km dari bandar Ranau, diiringi Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Sabah Mohd Hamdani Sahari.

Pada 23 Nov, dua remaja mengalami kecederaan selepas jambatan gantung kayu setinggi 18 meter yang mereka gunakan sebagai ‘stesen internet’ itu putus kira-kira 9 malam . 

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan lapan remaja termasuk tiga pelajar SMK Ulu Sugut berkumpul di atas jambatan itu untuk mengakses internet. Dua daripada mereka mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tulang belakang selepas terjatuh dari jambatan itu.

Seorang daripada mangsa kini masih berada di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,  menjalani rawatan untuk kakinya yang patah.

Sementara itu, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang berkata jambatan gantung yang dibina 10 tahun lalu, berada dalam keadaan usang.

Katanya jambatan itu pernah dibaiki sebelum ini, tetapi tidak mampu bertahan lama. Oleh itu, jambatan tersebut akan dibina semula tidak lama lagi.

“Pada masa ini, penduduk kampung terpaksa menyeberang sungai menggunakan sampan kecil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *