Pejabat Daerah Perlu Proaktif Merancang, Melaksanakan Projek Pembangunan – Bung

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa Pejabat Daerah di seluruh Sabah perlu proaktif dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di daerah bagi mempastikan pembangunan yang lebih mampan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

Beliau turut meminta penjawat awam di peringkat daerah perlu mengubah cara bekerja agar dapat memberi perkhidmatan terbaik dan efisyen kepada rakyat terutama di luar bandar.

“Semuanya ini boleh dilaksanakan jika kita semua ada kemahuan, komitmen dan perancangan. Saya mahu pastikan Sabah terkeluar daripada garis kemiskinan.

“Saya tidak percaya Sabah tidak boleh lari daripada dilabel sebagai negeri termiskin,” katanya selepas mendengar taklimat pembangunan Daerah Tongod oleh Pegawai Daerah Tongod Mohd Fauzi Norbeh di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Tongod, di sini, kelmarin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata penjawat awam sebagai wakil kerajaan di daerah perlu pantas dan mengelakkan pelaksanaan pembangunan tertangguh yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Rakyat datang dari jauh untuk berurusan di pejabat kerajaan, tambangnya RM20-30. Hari ini tidak selesai, kita suruh datang esok. Esok pun tidak selesai.

“Rakyat tidak boleh tunggu. Dia akan marah kerajaan, dia marah wakil rakyat, macam-macam dia marah. Tetapi memang patut pun dia marah sebab pendapatan dia berapa saja.

“Justeru itu, karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kita perlu diubah dalam usaha mempermudahkan urusan rakyat,” katanya.

Bung Moktar mahu perubahan sistem penyampaian yang lebih cekap dan efisin mampu memacu sesebuah daerah ke arah yang lebih baik selain keluar dari kepompong kemiskinan ini termasuklah daerah Tongod yang diletakkan sebagai daerah yang termiskin .

” Kita perlu memudahkan sistem penyampaian kita sekali gus kita dapat membangunkan bukan sahaja 37 daerah di Sabah tetapi juga negeri tercinta ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta Pegawai Daerah Tongod mengemukakan semula permohonan untuk meneruskan projek pembinaan Kompleks Sukan Tongod, yang tergendala sejak 2018.

“Projek itu yang sepatutnya dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, perlu diteruskan sebagai memenuhi janji kerajaan dahulu kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau meminta Pegawai Daerah Tongod untuk merancang projek menaiktaraf Pejabat Urusetia Daerah Tongod, mengemukakan permohonan bagi membina Pasar Awam dan Dewan Masyarakat di daerah itu.

“Saya cukup yakin, kita akan dapat peruntukan berkenaan dan pembangunan ini akan membantu membangunkan Daerah Tongod,” katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Juplin, Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Ali Ahmad Hamid dan Pengarah Jabatan Air Edward Lingkapo.

Selepas mendengar taklimat pembangunan, Bung Moktar turut mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan, selain melawat projek bekalan air luar bandar di Loji Air Lanong Tongod dan jalan runtuh di Batu 25 Sandakan. – Sabah360

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *