Lebih 1,600 hilang tempat tinggal, rumah atas air terbakar

KUDAT: Lebih 1,600 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 179 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat musnah dalam kebakaran, semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 4.26 petang itu.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk cuba memadam kebakaran itu, namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu dan agak rapat antara satu sama lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 petang.

Beliau berkata, seramai 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dengan dibantu Persatuan Bomba Sukarela (PBS) dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 400 kaki sumber air dari jentera dan pili bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 6.43 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.17 malam.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *