Senyuman mereka kebahagiaan saya – Fairuz

KOTA BELUD: “Senyuman mereka kebahagiaan saya dan pastinya saya akan melakukan apa sahaja untuk rakyat saya yang memerlukan bantuan dan khidmat daripada saya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan.

Menurutnya, beliau sentiasa terbuka dan akan menerima segala aduan serta permasalahan daripada rakyat terutamanya yang melibatkan aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak.

“Jawatan saya sebagai ADUN adalah jawatan yang diberikan oleh mereka, amanah daripada mereka dan memang saya berdiri atas kapasiti menjadi suara kepada permasalahan mereka dan membantu menyelesaikannya sebaik mungkin.

“Tanpa kepercayaan dan keyakinan daripada mereka, saya tidak ada seperti apa yang saya adanya kini dan tanggungjawab saya, untuk rakyat saya, di Pintasan adalah membantu rakyat saya tanpa mengira agama, bangsa dan sebarang perbezaan lain,” katanya semasa menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal, Afifah Junainah Guntamas di Kampung Timbang, semalam.

Turut hadir semasa penyerahan kunci rumah, Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah.

Fairuz yang memegang kerusi DUN Pintasan setelah menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), September lepas turut memberitahu bahawa permasalahan rakyat di Pintasan masih banyak yang perlu diselesaikan dan diteliti.

Katanya, kesusahan rakyat membanting tulang mencari rezeki, untuk menyara keluarga, ditambah tekanan daripada pandemik COVID-19 dan masalah bencana alam seperti banjir, semakin memberikan beliau kekuatan untuk lebih berusaha untuk membantu lebih ramai lagi khasnya bagi rakyat yang amat memerlukan bantuan dan perhatian.

“Semalam, saya serahkan kunci rumah yang dibina ini untuk ibu tunggal muda dengan enam anak, yang mana tiga orang masih bersekolah, dan tiga orang lagi masih kecil dan bayi.

“Sayu hati semasa mula-mula saya bertemu keluarga ini, mereka menumpang di kediaman usang orang tua ibu tunggal ini, ditinggalkan suami digantung tidak bertali, tanpa khabar berita dan saya sebagai seorang manusia, seorang suami, seorang bapa bahkan seorang hamba Tuhan yang sama-sama menumpang di muka bumi ini merasakan bahawa saya memang perlu melakukan sesuatu untuk membantu mereka.

“Ini adalah langkah pertama saya, membantu keluarga ini membina rumah untuk keluarga kecil ini berteduh dari hujan panas dan saya akan terus memantau keperluan keluarga ini, memandangkan kerana keadaan mereka masih memerlukan perhatian daripada pihak saya selaku ADUN disini.

“Saya berharap untuk melakukan lebih banyak lagi dan untuk memastikan tiga anak-anak Afifah tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran secara maya pada masa ini, saya juga berikan mereka tiga buah telefon pintar dan pelan internet dengan harapan mereka mampu memanfaatkannya untuk tujuan pembelajaran dan mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu turut menyeru semua pihak untuk tampil ke depan dan membantu mana-mana pihak lain yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Fairuz menggesa agar pihak pengurusan dan pentadbiran di semua kampung untuk sentiasa memantau dan mengenalpasti sekiranya ada keluarga dan rakyat lain yang turut mengalami nasib yang sama seperti Afifah, untuk dibantu secepatnya.

“Kita akan teruskan usaha untuk membina rumah kepada mereka yang ditimpa nasib seperti Afifah kerana malang tidak berbau dan apabila saya mampu menyelesaikan permasalahan mereka, ia umpama sebuah kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *