Kerajaan GRS-BN pertimbang keluarkan kad pengenalan Sabah secara pentadbiran

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) sedang mempertimbang untuk mengeluarkan kad pengenalan Sabah secara pentadbiran.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata rakyat negeri ini sudah lama menyokong pengeluaran kad pengenalan itu.

Selain itu, beliau berkata, mereka juga percaya bahawa ia akan membantu dalam memastikan hak rakyat Sabah dilindungi.

“Kad ini juga akan membantu mengenal pasti antara rakyat Sabah tulen dengan mereka yang bukan berasal dari Sabah. Ia mudah untuk dilengkapkan berikutan hanya bersifat pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, semua pemimpin di Sabah dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, mempunyai kehendak politik untuk menyelesaikan isu pendatang asing di negeri ini.

Malah, beliau berkata, mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mencari jalan yang boleh dilaksanakan serta diterima bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Bagaimanapun, jalan penyelesaian yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengeluarkan dokumen yang disebut ‘kad warga asing’ nampaknya tidak boleh diterima oleh rakyat Sabah.

“Ini kerana istilah itu boleh disalah tafsir. Kita mesti menggunakan bahasa kita dengan tepat.

“Oleh itu, menamakan dokumen terbabit sebagai ‘kad pemastautin bukan warganegara’ akan lebih diterima kerana ia membezakan pemegang kad berkenaan dengan segera daripada hak warganegara tulen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bahawa kehendak politik diperlukan, terutama bagi menyelesaikan isu pendatang asing di Sabah.

“Kita melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini berdasarkan kemampuan kita. Kita berharap Kerajaan Persekutuan juga mempunyai kehendak politik untuk menyokong aspirasi Sabah,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *