‘Jangan cadang lagi Perjanjian Malaysia baharu’ – Abang Johari

SIMUNJAN: Tan Sri Abang Johari Abang Openg mahu cadangan untuk memperbaharui Perjanjian Malaysia (MA) tidak lagi disebut kerana ia hanya akan mengundang pihak tertentu mempersoalkan penubuhan Persekutuan Malaysia 59 tahun lalu.

Menegaskan MA 1963 (MA63) adalah asas penubuhan negara dan sudah dipersetujui pemimpin terdahulu, Premier Sarawak berkata, negeri ini menuntut beberapa perkara yang sudah terhakis dalam MA63, tetapi sama sekali tidak bermaksud mempertikaikan semua yang sudah termaktub di dalamnya.

“Apa yang dicadangkan oleh Tok Mat (Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hassan) sepatutnya tidak harus disebut. Ini kerana jika ia dilaksanakan, bermakna semua perjanjian terdahulu itu tidak sah, sekali gus penubuhan Persekutuan Malaysia juga dipersoalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Masjid Al-Kawthar, Gedong yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata, tuntutan Sarawak hanyalah untuk memastikan syarat-syarat termaktub di dalam MA63 serta hasil ketetapan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) harus dilaksanakan, bukannya perjanjian baharu.

“Ia termasuk meneliti semula pemberian geran khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Rundingan bagi menuntut perkara itu sedang berjalan.

“Kerajaan Persekutuan sudah minta Sarawak mengemukakan nama wakil dalam IGC untuk ditempatkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kalau Sarawak ada wakil dalam LHDN, kita tahu berapa sebenarnya pendapatan dari negeri ini (yang dibawa ke Persekutuan).

“Ia sekali gus membolehkan kita menuntutnya semula (dalam bentuk pemberian khas). Ini tidak tidak bermaksud Sarawak beri tekanan kepada Kerajaan Persekutuan kerana kita juga memahami kedudukan kewangan negara ketika ini,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Mohamad ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Sabah, mencadangkan pimpinan BN negeri itu mengusulkan MA baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam MA63.

Beliau juga dilaporkan berkata, perjanjian baharu itu perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar, seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah, namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *