Operasi perniagaan di Sabah, 7 pagi hingga 7 malam

KOTA KINABALU: Sabah menetapkan semua aktiviti perniagaan berkaitan makanan dan barang keperluan asas serta aktiviti pengilangan terpilih dibenarkan beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 7 malam sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu yang akan bermula esok.

Ia merangkumi restoran, termasuk di hotel, kafe, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan dan beredar, medan selera dan pusat penjaja (semua untuk makanan berbungkus sahaja), kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini, pasar raya, farmasi dan institusi kewangan, termasuk bank dan insurans serta takaful.

Turut dibenar dibuka mengikut masa yang ditetapkan itu ialah kedai dobi, kedai cermin mata dan optik, pusat cuci kenderaan, kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan, kedai perkakasan, bengkel kenderaan, e-dagang, kedai kredit atau pajak gadai, pemborongan dan pengedaran dan kedai barangan keagamaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata bagi pengilangan, sebanyak 13 aktiviti dibenarkan iaitu aeroangkasa (komponen dan penyelenggaraan); makanan, minuman dan rantaiannya; pembungkusan dan percetakan; pengeluaran barang penjagaan diri dan bahan pencuci; penjagaan kesihatan dan perubatan; peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.

“Selebihnya ialah komponen peranti perubatan; elektrikal dan elektronik; minyak dan gas (termasuk petrokimia dan produknya); mesin dan peralatan berkaitan makanan dan kesihatan; tekstil untuk pengeluaran PPE; pengeluaran, penyulingan, pembekalan dan pengagihan bahan api serta pelincir; dan pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi serta rantaiannya dengan kapasiti 60 peratus,” katanya dalam kenyataan media mengenai prosedur operasi standard (SOP) PKP penuh bagi negeri Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, hanya hospital dan klinik kerajaan serta swasta dibenar beroperasi 24 jam, manakala stesen minyak dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, pasar borong (12.01 pagi hingga 6 pagi) dan pasar awam (6 pagi hingga 3 petang).

Katanya, tamu, pasar malam, pasar minggu dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi, manakala pusat beli belah hanya dibuka untuk perniagaan pasar raya besar, farmasi, kedai runcit dan serbaneka serta restoran bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan negeri turut membenarkan masjid dan surau dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat hajat yang dihadkan kepada 12 ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja, manakala solat jenazah juga dibenarkan dengan kehadiran 12 orang.

“Hanya solat Jumaat, kuliah agama, majlis ilmu, akad nikah dan majlis kenduri tidak dibenarkan diadakan di masjid dan surau. Rumah ibadat lain juga dibenarkan dibuka tetapi terhad kepada 12 ahli jawatankuasa rumah ibadat masing-masing,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut membenarkan akad nikah diadakan di pejabat agama dengan kehadiran lapan orang, manakala bagi perkahwinan orang bukan Islam dibenar diadakan di rumah ibadat sahaja dengan kehadiran 12 orang, manakala pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertakluk kepada ketetapan jabatan itu.

Bagi aktiviti sukan dan rekreasi, katanya hanya joging dan senaman individu di kawasan kejiranan dibenarkan, manakala aktiviti pembinaan hanya untuk kerja penyelenggaraan dan pembinaan kritikal serta infrastruktur utama, juga bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Pengangkutan awam termasuk bot dari pulau ke tanah besar katanya hanya dibenarkan dalam daerah yang sama dengan kapasiti 50 peratus, manakala perkhidmatan bas ekspres dan kereta api yang merentas daerah tidak dibenarkan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *