Kerajaan mahu Jabatan Penerangan bantu jayakan halatuju SMJ
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Jabatan Penerangan membantu menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) khususnya menyebarluaskan mengenai program itu hingga ke peringkat akar umbi.ย
Katanya apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu diwar-warkan kepada rakyat termasuklah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini sedang dilaksanakan di negeri ini.
โJabatan Penerangan Sabah sebagai jabatan kerajaan memainkan peranan penting untuk membantu menjelaskan dasar dan agenda kerajaan kepada rakyat.
โSelain menyebarkan dasar kerajaan, Jabatan Penerangan juga bertanggungjawab membantu kerajaan menangkis berita yang tidak betul dan memberi penjelasan yang sebenarnya kepada rakyat.
โSaya mahu semua jentera yang ada di jabatan ini bersama membantu kerajaan negeri untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pentingnya mengambil vaksin dan tidak mudah percaya kepada golongan anti-vaksin,โ katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Penerangan Sabah di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.
Kunjungan hormat itu diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah yang baharu menerajui jabatan itu Mac lalu.
Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Harun Maddasa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geraksaraf dan Pengurusan Isu Zulhanin Hasni, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran Malina Jamarin dan Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Siti Mariam Datuk Abdul Aziz Rashid.
Hajiji turut merakamkan penghargaan terhadap bantuan serta hebahan berkenaan penularan COVID-19 kepada penduduk Sabah.
โSaya difahamkan jabatan ini turut membantu membuat hebahan awam mengenai pandemik ini selain mengedarkan risalah dalam pelbagai bahasa tempatan.
โJabatan Penerangan memainkan peranan penting untuk memberi penjelasan kepada penduduk di seluruh pelusuk negeri ini mengenai pentingnya pengambilan vaksin ini.
โSaya berharap semua pemimpin di peringkat daerah termasuk pegawai daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut membantu usaha yang dibuat oleh jabatan ini,โ katanya.
Sementara itu, Nadzerah berkata Jabatan Penerangan Sabah akan terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri terutama berkaitan Halatuju SMJ yang dilaksanakan di negeri ini.
โInilah antara tujuan kunjungan hormat hari ini bagi memaklumkan jabatan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri,โ katanya sambil menambah jabatan itu juga terlibat dalam memberi hebahan berkaitan COVID-19. – Utusan Borneo