Hajiji Gesa Masyarakat Cina Bersama Majukan Pembangunan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa masyarakat Cina untuk berganding bahu dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan negeri dan memastikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya.

“Dua tahun kebelakangan ini memang sukar bagi kita kerana wabak COVID-19 tetapi kita harus menerimanya dengan tabah.

“Semoga Tahun Harimau akan menjadikan negeri kita terus maju dan rakyat hidup aman dan harmoni,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Hajiji sekali lagi menegaskan, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sentiasa menyokong dan menggalakkan masyarakat Cina di negeri ini menganjurkan aktiviti kebudayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tahun Berita Cina juga disambut bersama oleh rakyat dari pelbagai kaum dan agama di Sabah, ciri unik negeri ini dan model terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Hajiji turut menasihatkan orang ramai di negeri ini supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 semasa sambutan itu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga saya, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *