Sabah lulus kaedah kad tambah nilai untuk beri bekalan elektrik

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah pada dasarnya sudah pun meluluskan kaedah guna kad tambah nilai untuk memberikan bekalan elektrik di kawasan setinggan di negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penduduk yang tidak mempunyai bekalan elektrik di kawasan setinggan boleh mendapatkan elektrik melalui kaedah seperti kad ‘prepaid’.

“Kerajaan negeri Sabah pada dasarnya telah meluluskan untuk membekalkan kepada kawasan setinggan dan menggunakan kad prepaid.

“Maksudnya, sesiapa mahu menggunakan elektrik, mereka perlu membeli kad prepaid dan boleh menyambung meter elektrik untuk diri sendiri, tetapi ini terserah pada pengguna kalau penggunaan yang banyak, kena tambah nilai yang banyak dan begitulah sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan UMNO, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung masalah kecurian elektrik yang berlaku di negeri ini terutama di kawasan setinggan.

Beliau berkata lagi, kaedah itu akan dipanjangkan untuk bekalan air di negeri ini bagi mengelak daripada berlaku kecurian atau penyambungan haram air di kawasan setinggan.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini sedang membuat siri pemotongan sambungan air haram dan saya mencadangkan perlu ada mekanisme baharu dengan membekalkan air ke kawasan setinggan dengan menggunakan kad prepaid ini.

“Melalui kaedah ini, sudah tentu tidak ada kecurian air sebab bila kita bekalkan air di kawasan setinggan, tidak ada alasan untuk mereka mencuri atau memecahkan paip untuk membuat sambungan air atau elektrik secara haram,” katanya.

Jelas Timbalan Ketua Menteri itu lagi, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan JANS adalah agensi yang menjalankan perniagaan di mana mereka membekalkan air dan elektrik dengan bayaran tertentu.

“Melalui kaedah, unsur-unsur tiada pulangan hasil itu berkurangan kalau tidak JANS akan berniaga 60 peratus air saja, manakala 40 peratus lagi hilang.

“Jadi bagaimana mahu berniaga, pihak berkuasa tempatan pun ada cadangan bahawa tidak akan membekalkan fasiliti kepada setinggan namun saya kata ini berlanggar dengan polisi SESB dan JANS kerana dua agensi ini berniaga.

“Sudah tentu kita perlu memberikan apa juga keperluan kepada rakyat dan di dalam kawasan setinggan pula ini ada rakyat tempatan dan bukan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan perlu adanya penggunaan kad tambah nilai berkenaan sebagai salah satu jalan penyelesaian untuk mengelak kegiatan curi bekalan air dan elektrik di negeri ini.

— Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *