GRS sentiasa adil, saksama sedia kemudahan untuk rakyat

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa adil dan saksama dalam menyediakan pelbagai kemudahan serta usaha membawa pembangunan untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahada berkata tidak ada satu pun yang tercicir dan dibezakan, tidak kira minoriti atau majoriti.

“Tidak ada satu kaum pun termasuk golongan minoriti, diabaikan dalam usaha kerajaan GRS kerana kita sentiasa mahu memastikan nasib rakyat sentiasa dibela.
 
“Pendekatan ini adalah selari dengan prinsip kerajaan GRS yang mengekalkan tradisi membela nasib rakyat terutama di kawasan luar bandar,” katanya selepas selesai sesi
lawatan kerja beliau, melihat sendiri permasalahan penduduk beberapa buah kampung dan melawat PPD Daerah Kota Marudu.

Wetrom yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau juga turut menggesa semua pemimpin masyarakat agar turun padang dan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di peringkat akar umbi, sekaligus merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Tambahnya, pemimpin masyarakat di peringkat kampung khasnya perlu sentiasa mendampingi rakyat dan bijak dalam mengatur strategi bagi menyelesaikan isu-isu dan kesulitan rakyat.

“Pastinya kepekaan, kebijaksanaan, keprihatinan dan kerja keras menjadi tunggak kejayaan sesebuah pentadbiran, khasnya dari peringkat kampung.

“Mereka harus bertindak proaktif, mengambil kira segala keperluan dan masalah yang dihadapi rakyat, dan menjadikan ia sebagai fokus komitmen kerana inilah gambaran pentadbiran kerajaan kita,” katanya.
 
Sementara itu, Wetrom dalam lawatan kerja terbabit telah meninjau jalan pertanian di Kampung Rugading dan Kampung Luba Pelumbang serta meninjau paip graviti di Kampung Taritipan melawat jalan kontrit, paip graviti dan jeti nelayan.

Selain itu, beliau juga turut menegaskan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah penduduk kampung terlibat.

Wetrom turut melawat di Kampung Mengaris juga meninjau titian pejalan kaki khas bagi laluan pelajar Sekolah Kebangsaan Mengaris.

Beliau turut menerima kunjungan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu dan berbincang mengenai permohonan pejabat baharu PPD daerah itu.

Jelasnya lagi, permohonan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *