SESB teruskan usaha banteras sambungan haram
SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan ratusan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan setiap tahun untuk mengekang dan mengawal aktiviti berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ir Ts Mohd Yaakob Haji Jaafar berkata SESB melalui media cetak dan elektronik, tidak jemu-jemu menyuarakan mengenai bahayanya aktiviti seperti itu bukan sahaja kepada pelaku penyambungan haram tetapi juga kepada harta benda dan orang awam.
โPenyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat oleh penghuni penempatan setinggan ini meningkatkan risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,โ katanya dalam kenyataan media.
Terkini, seramai 48 warga kerja teknikal SESB dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Tenaga, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jabatan Imigresen melaksanakan operasi membanteras sambungan haram yang bermula pada jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 1.00 petang melibatkan 60 buah rumah di Kampung Mangkalinau dan Bandar Leetat pada Isnin.
Sejumlah 271.5kg wayar dan kabel yang digunakan untuk penyambungan haram bekalan elektrik dirampas.
Mohd Yaakob berkata, SESB akan teruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dan orang ramai serta pemimpin masyarakat dinasihatkan agar menyalurkan maklumat segera jika mengesan perbuatan penyambungan haram di kawasan masing-masing untuk tindakan segera pihak SESB kerana perbuatan seperti ini selain menyebabkan kerugian kepada SESB ia juga tidak selamat. -Sabah360