Tiada bajet beli diesel, 10,000 penduduk terputus bekalan air 

KOTA KINABALU: Kekurangan peruntukan membeli diesel bagi mesin pengepam air mengakibatkan kira-kira 10,000 penduduk dari 18 kampung terputus bekalan air selama seminggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, alasan tidak cukup bajet untuk memastikan operasi mesin pam air berfungsi dengan baik sangat tidak munasabah.

“Sikap sambil lewa Jabatan Air daerah yang memberi alasan kurang matang menyebabkan ribuan penduduk di sekitar Tongod dan Penangah berhadapan kesukaran akibat tiada bekalan air.

“Saya menerima panggilan telefon dan hantaran WhatsApp daripada penduduk terlibat yang mengadu tentang masalah bekalan air.

“Saya beranggapan, Jabatan Air daerah tidak mengemukakan bajet kecemasan tahunan untuk keadaan luar jangka kepada ibu pejabat hingga mengakibatkan situasi tiada peruntukan membeli diesel boleh berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah itu berkata, tindakan tidak cekap Jabatan Air tidak harus dibiarkan berulang kerana ia menyusahkan rakyat di kawasan yang terjejas.

Menurut beliau, kejadian kebakaran di asrama lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod pada 17 Julai lalu turut mengalami kesukaran bagi memadamkan api susulan penutupan bekalan air yang berlaku di daerah tersebut.

“Jangan tunggu sehingga timbul masalah yang lebih serius baru Jabatan Air mahu mengambil tindakan,” katanya.

Jelasnya, penduduk di kawasan terjejas sudah mula merungut kerana terputus bekalan air selama seminggu tanpa ada sebarang usaha menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.

Justeru, beliau mahu semua ketua-ketua jabatan agensi kerajaan di daerah itu lebih peka kepada tugas masing-masing agar masalah dihadapi masyarakat setempat dapat diselesaikan dengan kadar segera. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *