Galak pelajar IPT berniaga secara dalam talian elak terlibat jadi ‘Sugar Babies’
KOTA KINABALU: Galakan dan peluang untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara dalam talian dapat membendung golongan pelajar di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) melibatkan diri dengan kegiatan menjadi ‘Sugar Babies’.
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) Sabah, Siti Zainab Omar menyarankan langkah terbabit untuk dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan IPT berikutan jumlah pelajar terlibat dengan aplikasi โSugarbookโ yang tular baru-baru ini amat membimbangkan.
“Pihak KPT dan IPT disarankan menaja pembukaan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sama ada membayar dan menanggung pembukaan lesen bagi pelajar yang berminat.
“Ini juga menjadi sebagai galakan pelajar untuk melibatkan diri dengan perniagaan secara dalam talian sebagai salah satu punca pendapatan ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Pihak bertanggungjawab perlu menyediakan dan mewujudkan peluang keusahawanan kepada mahasiswa untuk jana pendapatan di dalam mahupun di luar kampus.
“Selain itu, kerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kaunseling perlu diadakan dengan menyediakan khidmat nasihat dan dorongan kepada mereka untuk meninggalkan gejala tersebut.
“Unit kaunseling perlu menjadi perantara yang dominan agar psikoterapi turut diberikan secara terus kepada yang terlibat sekaligus membantu mereka dari sudut dukungan psikologi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Siti Zainab turut menyarankan NGO dan pihak berkuasa berkerjasama mewujudkan platform untuk memudahkan masyarakat melaporkan kegiatan terbabit di samping menggesa golongan ibubapa untuk memantau pergerakan anak-anak.
Selain itu katanya, pihak kerajaan juga harus mencari langkah efektif untuk menyekat dan membekukan semua laman sesawang ataupun aplikasi seperti โSugarbookโ di Malaysia.
“Hal ini dapat mengurangkan dan mengelakkan bukan sahaja mahasiswa bahkan keseluruhannya daripada terjebak dan berdaftar dengan aplikasi tidak bermoral seperti ini.
“Berdasarkan laporan, lebih kurang seramai 14,434 pelajar yang terdiri daripada IPT awam mahupun swasta terlibat dan berdaftar dengan aplikasi โSugarbookโ ini.
“Statistik juga menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus beberapa bulan yang lalu akibat pandemik COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita.
“Tidak dapat dinafikan, masalah kewangan itu merupakan salah satu faktor utama keterlibatan mahasiswa dengan kegiatan ini,” katanya.
Menurutnya, isu โSugar Babyโ ini bukan isu yang baru dan SIGMA menyeru semua pihak berkaitan untuk mengambil perhatian serta memainkan peranan masing-masing dengan lebih serius untuk mencegah kegiatan terbabit khususnya di kalangan pelajar wanita.
Tamat