Maut terlanggar khinzir semasa pulang ke rumah

Oleh: Mac Grimes

BEAUFORT: Gara-gara seekor khinzir melintas di Jalan Bandau, Membakut, dekat sini, seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang beliau terbabas.

Mangsa, Awang Satia Yusop, 45 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan di Hospital Queen Elizabeth II pada pukul 8.45 siang tadi akibat pendarahan dalaman otak.

Mengulas lanjut insiden yang berlaku pada pukil 7.15 malam itu, ketua polis Beaufort DSP Azmir Razak berkata punca kemalangan itu adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar seekor khinzir yang sedang melintas jalan sewaktu menuju ke Kampung Bandau.

“Tiada unsur khianat atau jenayah terkesan dalam kemalangan ini,” ujar Azmir.

Beliau berkata cuaca pada waktu kemalangan cerah, dan kejadian berlaku di atas permukaan jalan rata, lurus dan kering.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *