Kesesakan lalu lintas ke UMS dapat diatasi – Bung

KOTA KINABALU: Kesesakan lalu lintas yang membelenggu pengguna jalan dihadapan Kingfisher atau sepanjang laluan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu diselesaikan dengan menaik taraf jalan raya sedia ada.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, usaha menaik taraf jalan raya itu hanya mengambil masa dalam tempoh seminggu sehingga 10 hari sahaja.

“Tinjauan yang diadakan di sini, saya nampak keadaan lalu lintas berjalan dengan baik sahaja, cuma kekangan yang ada jalan raya sedia ada ini perlu dinaik taraf.

“Projek Jejambat di sini berjalan dengan baik walaupun berhadapan dengan sembilan peratus kelewatan. Kita terima aduan daripada pengguna mengenai kesesakan lalu lintas yang sudah lama di sini.

“Tetapi bersabarlah, saya akan pastikan jalan raya ini dapat mengurangkan kesesakan di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri memberikan jaminan jejambat itu akan disiapkan hujung tahun 2021.

Katanya, jejambat ini nanti adalah yang terbaik pernah dibina, bersifat moden dan tidak seperti di kawasan lain.

“Jejambat yang memakan kos RM359 juta ini akan menggabungkan beberapa jalan raya utama seperti dari Kingfisher, Kota Kinabalu dan UMS.

“Jadual penyiapan ini termasuklah jejambat di Indah Permai, ianya akan disiapkan pada hujung tahun ini.

“Cuma simpang yang memasuki Karambunai akan berhadapan dengan masalah disebabkan peruntukan daripada Pusat belum disalurkan. Kita akan mengejar peruntukan itu agar disegerakan,” katanya.

Katanya, jejambat yang retak di kawasan Luyang juga sudah diperbaiki dan kini tidak berhadapan dengan sebarang masalah.

Dalam pada itu, Bung sekali lagi mengulangi pendirian Kerajaan Gabung Rakyat Sabah (GRS) akan terus memastikan projek empangan di Papar dapat dilaksanakan.

Katanya, pengguna di bandaraya ini berhadapan dengan masalah bekalan air dan hakikatnya logi berkenaan perlu dilaksanakan.

“Baru-baru ini penduduk di Universiti Apartment Sepanggar berhadapan dengan masalah bekalan air. Sebenarnya semua penduduk di sekitarnya juga ada masalah air.

“Sudah bincang dengan pengarah jabatan air, logi air di Kota Kinabalu tidak dapat menampung penggunaan itu dan memerlukan sokongan daripada logi air di Tuaran.

“Kalau kita bekal air ke sini, kita akan kasi tutup sehari atau semalaman untuk tujuan salur air ke KK dari Tuaran. Ia bolehlah tahan sehingga tiga hari,” katanya.

Bung menasihatkan pengguna air perlu faham dengan jadual penutupan logi air yang sudah diberikan notis lebih awal.

Beliau turut menasihati pengguna agar berjimat dan menyimpan bekalan air dalam tempoh berkenaan. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *