Bantuan Sabah Prihatin 3.0 terus disalurkan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 di Dewan Masyarakat Manggatal, Kota Kinabalu.

Beliau turut menyampaikan bantuan secara one-off sebanyak RM300 kepada penjaja kecil sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, Bantuan Bakul Makanan serta Bantuan Sewa PPRT di Taman Keramat dan Taman Kurnia Jaya.Sebanyak RM1,270,200 bantuan penjaja telah diperuntukan bagi pembayaran one-off sebanyak RM300 kepada 4,234 individu yang mendaftar dengan DBKK, dan kaedah pembayaran ialah secara pindahan kredit ke dalam akaun penerima

Bantuan Bakul Makanan pula memperuntukkan sebanyak RM1,178,500 yang diagihkan kepada kategori B40, E-kasih, Home Quarantine dan Bantuan AM PKPD yang bernilai RM100 bagi setiap bakul. Ketika ini 11,785 bakul telah diedarkan. Setakat 29 Jun 2021, sebanyak RM653,600 telah diagihkan kepada 6,536 orang di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Seterusnya, Bantuan Sewa PPRT dengan peruntukan RM245,016 melibatkan seramai 478 penyewa yang mendaftar dengan DBKK dengan 432 penyewa di Taman Keramat dan 46 Penyewa di Taman Kurnia Jaya.

Peruntukan pengecualian sewa PPRT telah disalurkan kepada DBKK melalui Jabatan Pengurusan Harta untuk pengecualian bayaran sewa selama tiga (3) bulan bagi tahun 2021.

Dengan pengiraan RM174 setiap bulan, selama 3 bulan pengecualian menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM522 bagi setiap penyewa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Haji Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Ir. Haji Shahelmy bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Abidin Bin Madingkir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK, YB Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, ADUN (Dilantik), Yang Berbahagia Puan Noorliza Awang Alip, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Yang Berbahagia Datuk Christina Rundi, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *