Jangkitan sporadik, ketidakpatuhan SOP punca kes di Sabah meningkat

KOTA KINABALU – Jangkitan sporadik dan ketidakpatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) merupakan antara punca Sabah mencatat 5,565 kes harian Covid-19 pada Jumaat, angka tertinggi pernah dicatat negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ini dapat dilihat apabila 62.43 peratus atau 3,474 kes daripada jumlah kes harian itu berpunca daripada kes jangkitan sporadik yang berlaku dalam komuniti.

“Jangkitan dalam komuniti sporadik lazimnya tidak diketahui punca jangkitan atau di mana jangkitan itu berlaku dikategorikan sebagai kes bergejala.

“Kes jangkitan sporadik yang tinggi adalah petanda jelas bahawa virus ini sudah menyebar ke seluruh komuniti dan bukan lagi tertumpu di lokaliti-lokaliti tertentu,” katanya yang juga jurucakap Covid-19 Sabah menerusi kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, ketidakpatuhan SOP dalam kalangan orang ramai dapat dilihat apabila 30.85 peratus atau 1,717 kes daripada kes harian hari ini dikesan melalui saringan kontak rapat.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah terus merekodkan kluster institusi pendidikan hari ini iaitu Kluster Kampung Lampada di Kota Marudu melibatkan 25 kes kumulatif dan Kluster Bukit Langsat di Keningau juga mencatat 25 kes kumulatif.

Beliau berkata, kes indeks Kluster Kampung Lampada merupakan seorang pembantu pengurusan murid di asrama Sekolah Kebangsaan Lampada berumur 36 tahun dikesan positif 15 Feb lepas dan semua pesakit telah diasingkan serta diberikan rawatan.

Katanya Kluster Bukit Langsat pula adalah melibatkan kes indeks seorang pelajar perempuan 21 tahun di dalam Asrama Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Keningau dikesan positif pada 10 Feb lepas.

Katanya, daripada jumlah kes harian hari ini, Kota Kinabalu merekodkan 1,395 kes, manakala 12 daerah mencatat kes tiga angka iaitu Penampang (606), Tawau (430), Lahad Datu (398), Papar (337), Tuaran (320), Sandakan (289), Kota Belud (216), Keningau (215), Putatan (188), Kota Marudu (164), Beaufort (158) dan Ranau (104). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.