Aidilfitri: Harga tiket mahal bebankan warga Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR – Kenaikan tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan bukanlah kejutan bagi rakyat Malaysia, tetapi ia adalah senario yang dijangkakan pada setiap tahun.

Dengan pembukaan semula sempadan negara dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bagi individu yang telah dua tahun tidak kembali bertemu keluarga disebabkan sekatan Covid-19, sudah pastilah teruja untuk pulang ke kampung halaman.

Syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching menawarkan tiket antara RM300 untuk penerbangan pergi balik semasa musim bukan perayaan.

Bagaimanapun, pemantauan Bernama terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April hingga 8 Mei).

Lily Surianti Suardi, 23, pelajar dari Sabah yang sedang mengikuti program ijazah di Universiti Selangor (UniSEL), berpendapat bahawa syarikat penerbangan harus mempertimbangkan untuk menetapkan kadar berasingan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di semenanjung.

Beliau berkata, tidak semua pelajar daripada keluarga berkemampuan dan oleh itu syarikat penerbangan tidak boleh menetapkan harga yang melebihi kemampuan semua pihak, terutama golongan pelajar.
“Jika harga tiket (kira-kira) RM1,000 hanya untuk harga tiket penerbangan, banyak pihak yang tidak mampu, lebih-lebih lagi ditambah dengan pendapatan keluarga ekonomi rendah.

“Ada yang datang daripada kalangan B40 ingin balik raya namun disebabkan harga tiket melonjak naik, pelajar macam saya membatalkan hasrat untuk pulang raya di kampung halaman,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagi eksekutif, Fatin Afiqah Yamin, 25, telah membeli tiket AirAsia ke Kuching pada awal Mac dan dijangka berlepas pada 23 April. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *