ADUN Lumadan ingatkan penduduk sentiasa berwaspada

BEAUFORT: Penduduk di Lumadan diingatkan agar sentiasa berwaspada terutama selalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam mengingatkan perkara itu berikutan kes baharu pandemik berkenaan, di sini.

Oleh yang demikian, Klinik Padas Damit akan membuat saringan dari semasa ke semasa bagi penduduk di kawasan itu.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya terpanggil untuk memberikan sumbangan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan ruang di klinik berkenaan.

“Ini adalah sebagai persiapan awal pihak klinik sekiranya berlaku kebarangkalian orang ramai berpusu-pusu membuat saringan, maka khemah dan kerusi serta meja ini boleh digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media selepas sesi penyerahan sumbangan, semalam.

Antara barangan yang disumbangkan adalah seperti khemah, kelengkapan kerusi dan meja, peralatan elektronik dan minuman.

Sumbangan ini diterima oleh doktor Klinik Padas Damit, Dr. Muhammad Afiq Hamidin Zainuddin.

Dalam pada itu, Ruslan mengingatkan kepada pemimpin setempat untuk memberi peringatan kepada penduduk kampung agar tidak membuat sebarang perjumpaan mahupun majlis kenduri bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, Ruslan bersama Pemaju Mukim, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk setempat bergotong royong membaiki jambatan menuju ke rumah warga emas, Jono Okih yang tinggal bersama isterinya di kampung Tamalangalong, Beaufort.

Beliau juga sempat meluangkan masa melawat pasangan suami isteri berkenaan di samping turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *