Bunyi letupan, gegaran gemparkan penduduk di Sabah

KOTA KINABALU: Penduduk sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran selama beberapa saat kira-kira jam 11 pagi pada Ahad.

Difahamkan, bunyi letupan kuat seperti guruh dan gegaran itu dirasai selama kira-kira lima hingga enam saat.

Ramai pengguna media sosial berkongsi peristiwa itu dan tertanya-tanya punca dan arah bunyi letupan berkenaan.

Pihak berkuasa termasuk polis dan bomba setakat ini memaklumkan masih mencari punca bunyi letupan atau gegaran itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak mengakui keadaan sedikit gempar ketika ini di daerah berkenaan.

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Daerah Sipitang dan beliau mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Lawas, Sarawak.

“Saya juga berhubung dengan polis Labuan tetapi bom lama yang ditemukan sebelum ini juga sudah dimusnahkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan daripada mana-mana pihak yang menyatakan lokasi letupan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya sedang berusaha mencari punca bunyi letupan.

“Saya juga dengar bunyi seperti guruh dari arah Labuan. Kita sedang mencari kemungkinan punca daripada ‘pipe line’ gas ke Miri tetapi perkara ini belum disahkan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata, setakat ini Balai Bomba dan Penyelamat di bawah zon Beaufort tidak menerima sebarang panggilan operasi.

“Setakat ini tidak pasti punca daripada apa.

“Pihak bomba pun tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan bunyi itu namun hanya panggilan daripada orang ramai diterima untuk bertanya punca bunyi itu,” katanya — sumber Sinar Harian

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *