Lelaki ditahan miliki syabu dan ganja di Putatan

PUTATAN: Pasukan Balai Polis Putatan telah menahan seorang lelaki tempatan yang memiliki dadah jenis Syabu dan Ganja, berdekatan Kampung Lok Kawi Baru, Penampang, semalam.

Ketua Polia Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, pihak polis bertindak menahan suspek yang dalam keadaan mencurigakan di sekitar jalan Kampung Lok Kawi, ketika sedang menjalankan tugas rondaan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah mendapati satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan kristal yang disyaki dadah jenis Syabu seberat 5.14 gram.

“Pihak polis juga turut menemui lima paket plastik lutsinar berisi daun kering yang disyaki dadah jenis Ganja seberat 10.64 gram di dalam beg sandang milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman minimum dua tahun penjara serta tiga kali sebatan.

Susulan itu, kesalahan di bawah Seksyen 6 di bawah akta yang sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekalinya jika sabit kesalahan.

Pihak Polis Daerah Penampang meminta Kerjasama masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat mengenai jenayah dadah dan menggalakkan mereka untuk segera menyalurkan maklumat-maklumat berkenaan di balai yang berhampiran. – DemiSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *