Jabatan Pendidikan Negeri Sabah hargai usaha kerajaan negeri beri komputer riba
KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melalui kenyataan media hari ini, menghargai inisiatif Kerajaan negeri Sabah untuk mengagihkan bantuan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah pada 8 Jun 2021.
Dalam program BAIK ini, seramai 9,842 murid tingkatan 5 dan 6 sekolah dibawah JPN dan 158 murid di bawah Sekolah Agama Negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia tahun 2021 akan menerima bantuan komputer riba.
JPN Sabah juga menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah diatas keprihatinan untuk bersama-sama memastikan murid-murid mendapatkan akses pendidikan mengikut kesesuaian murid dan guru, khususnya dalam tempoh yang mencabar sekarang.