3,750 Murid Di Sabah Terima Sumbangan Yayasan PETRONAS

KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyampaikan sumbangan melalui Program Kembali Ke Sekolah (BTS) 2021 yang memanfaatkan 21,000 murid sekolah rendah, bermula 8 Mac lalu hingga esok.

Murid terbabit adalah daripada keluarga berpendapatan rendah di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Di Sabah, seramai 3,750 murid menerima sumbangan itu yang berupa set kelengkapan sekolah dan kit penjagaan kebersihan diri.

Menurut Yayasan PETRONAS dalam satu kenyataan, di sini, sumbangan sama turut memberi manfaat kepada 200 murid di Labuan.

Katanya, setiap murid terbabit menerima dua helai pelitup muka tiga lapis, tuala tangan dan sekotak sabun kertas untuk penjagaan kebersihan diri.

Bagi kelengkapan sekolah pula, katanya, masing-masing menerima sebuah beg, bekas air, buku aktiviti, sebuah bekas pensel bersama alat tulis, dua pasang pakaian seragam, sepasang kasut dan stoking.

“Sumbangan barangan untuk BTS 2021 ini diagihkan ke 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah dan Labuan bermula 8 Mac lalu,” katanya.

PPD terbabit di Sabah ialah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Papar, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tambunan, Keningau, Pensiangan, Tenom, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Ranau, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Menurut kenyataan itu lagi, barangan berkenaan kemudian diagihkan kepada murid di 132 sekolah di Sabah dan 17 sekolah di Labuan. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.