Remaja dikhuatiri lemas

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus deras dalam kejadian di pantai sebuah pusat peranginan di Karambunai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Yusof Suhaibon dikatakan bersama dua lagi rakannya bermandi-manda di pantai berkenaan.

Bagaimanapun, ombak deras yang tiba-tiba melanda pantai berkenaan menarik mangsa dan rakannya ke kawasan laut dalam.

Menurut sumber, rakan mangsa sempat menarik tangan mangsa namun akibat arus deras berkenaan kedua-dua remaja terbabit gagal menarik mangsa ke tempat selamat.

Katanya, kedua-dua rakan mangsa kemudiannya berjaya berenang ke tepi pantai sebelum meminta bantuan daripada orang awam untuk menghubungi pihak berkuasa

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 pagi sebelum mengerahkan sepasukan angggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, selain polis, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang lemas masih diteruskan oleh pihak berkuasa di sekitar lokasi kejadian.

“Polis juga sudah mendapatkan maklumat mangsa daripada kedua-dua rakan dan pengadu kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini

— Sumber Asia Times

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.