Tegur tidak pasang ‘signal’, lelaki patah tujuh gigi dipukul batang besi

KOTA KINABALU, 31 MAC 2021: Seorang lelaki bukan hanya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala malah turut kehilangan tujuh gigi selepas dipukul menggunakan batang besi oleh seorang pemandu di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Kolam itu dipercayai disebabkan oleh teguran mangsa kepada suspek kerana tidak memasang lampu isyarat semasa masuk ke lorong laju.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berumur 21 tahun memandu sebuah kereta berwarna biru sebelum berselisih dengan suspek berumur 36 tahun yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Sebaik tiba di lampu isyarat mangsa menegur suspek yang ketika itu berada bersebelahan kenderaannya kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju,” katanya.

Beliau berkata, teguran mangsa itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan suspek bertindak luar kawalan dengan memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan batang besi.

“Mengikut laporan polis diterima, suspek juga dikatakan memukul mangsa di bahagian kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan.

“Suspek kemudiannya masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Habibi berkata, mangsa yang parah kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi untuk keluar dari kenderaan dan mangsa menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

“Setakat ini suspek berumur 36 tahun itu sudah dikenalpasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan tangan serta patah tujuh gigi kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *