Kerajaan mampu tangani ancaman keselamatan di Sabah: PVATM

TAWAU – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) percaya kerajaan mampu mengambil langkah terbaik dalam menangani ancaman keselamatan di Sabah terutama melibatkan kumpulan Sulu.

Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, sebagai veteran tentera yang masih memegang tanggungjawab mempertahankan negara, persatuan itu juga bersedia menyokong apa juga yang diputuskan pihak kerajaan bagi menangani ancaman itu.

“Jadi kita selaku veteran mengharapkan kerajaan mencari penyelesaian terbaik, di pihak veteran saya sendiri terlatih mempertahankan negara dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival 100 tahun veteran ATM anjuran PVATM Cawangan Tawau di sini pada Sabtu.

Seorang bekas tentera Jumadil Abdu Rahman, 71, berkata, peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya mengukuhkan keselamatan di Sabah terutama Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata, sejak ESSCom yang dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) beroperasi, banyak kejayaan telah diperoleh termasuk menggagalkan ancaman jenayah rentas sempadan.

“Kalau ESSCom tiada, tidak mustahil lebih banyak ancaman lain, keadaan sekarang lebih aman kerana kawalan keselamatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperhebatkan kawalan keselamatan di Sabah terutama kawasan perairan ESSZone dengan menambah kekuatan pasukan keselamatan yang bertugas serta menyediakan aset keselamatan yang terkini.

“Perairan ESSZone ini luas ambil contoh di perairan Wallace Bay, Sebatik hingga Kalabakan, banyak laluan tikus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak luar jangan memandang enteng dengan membuat pelbagai tuntutan atau sengaja mewujudkan propaganda berkaitan keselamatan Sabah kerana negara memiliki pasukan keselamatan yang hebat.

“Kami veteran ATM masih kuat mengangkat senjata demi mempertahankan negara,” katanya lagi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.