Barang keperluan asas di Sabah cukup, tidak ada pembelian panik

KOTA KINABALU: Tidak ada sebarang pembelian luar biasa oleh pengguna di premis-premis perniagaan tumpuan pelanggan sejak semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas menjelaskan selain tiadanya pembelian panik berlaku, bekalan keperluan asas di Sabah juga mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

“Pejabat KPDNHEP Sabah sentiasa memantau bekalan barangan keperluan asas termasuk barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lepas sehingga kini di mana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi berkuatkuasa sehingga 14 Januari di Sabah.

“Seramai 200 orang pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah terlibat di dalam tugas-tugas pemantauan ini.

“KPDNHEP Sabah juga akan terus memastikan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pemeriksaan harian yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Georgie turut berkata pihaknya melantik 170 peruncit daerah terpilih dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di Sabah.

Selain itu katanya, semasa PKPB yang berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 14 Januari, pihaknya huga telah mengaktifkan bilik gerakan di seluruh cawangan untuk menerima sebarang aduan dan pertanyaan khususnya berkaitan dengan bekalan dan harga barangan.

“Bilik gerakan pejabat KPDNHEP Sabah di Kota Kinabalu beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam manakala bilik gerakan di pejabat cawangan beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

“Oleh kerana kedudukan bekalan barangan keperluan asas dan barang kawalan yang mencukupi, pengguna dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik. Semua peniaga di negeri ini juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan berikutan penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.

“Peniaga yang didapati menaikkan harga barang secara tidak berpatutan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang aduan ke sembilan saluran aduan pengguna yang disediakan,” katanya.

Berikut senarai nombor telefon Bilik Gerakan KPDNHEP Sabah:

Kota Kinabalu : 088-484368
Sandakan : 089-668107
Tawau : 089-776690
Beaufort : 087-222240
Keningau : 087-338401
Kudat : 088-615311
Tuaran : 088-787822
Lahad Datu : 089-886090
Semporna : 089-782855

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *