Vaksin diterbangkan untuk 936 petugas barisan hadapan di Sandakan

KOTA KINABALU: Helikopter Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerbangkan bekalan vaksin COVID-19 yang akan diagihkan kepada 936 petugas barisan hadapan di Sandakan.

Ketua Jabatan Farmasi dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Wilayah Kota Kinabalu Kapten Nurhafiza Rahman berkata vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diletakkan dalam B Medical Systems Vaccine Transport Box RCW 8 yang dilengkapi dengan bacaan suhu jenis paparan digital.

Katanya kotak sejuk ini mampu mengekalkan suhu sehingga 10 darjah celcius tanpa bukaan selama 57.9 jam selepas ditutup. 

“Suhu ini amat bersesuaian dengan vaksin Comirnaty yang memerlukan suhu sekitar 2 hingga 8 darjah celcius sebagai suhu simpanan persediaan untuk diberikan kepada individu serta boleh bertahan selama lima hari selepas dinyahbeku,” katanya.

Beliau turut serta dalam misi ini bagi memastikan bekalan vaksin ini berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada Pegawai Perubatan di Kem Kinabatangan, Leftenan (Dr) Muhammad Faiq Hashim.

Sementara itu juruterbang Fennec milik TLDM Leftenan Komander Ahmad Jailani Alias TLDM berkata penerbangan mengambil masa selama sejam setengah dari Stesen Udara Kota Kinabalu di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Sandakan.

“Misi membawa vaksin ini adalah titik permulaan sumbang bakti helikopter Fennec ini selepas berada di Sabah sejak 8 Mac lalu dan ianya menjadi satu kebanggan TLDM kerana diberi kepercayaan bagi membawa vaksin tersebut ke Sandakan. 

“Helikopter Fennec ini bukan sahaja dapat melaksanakan latihan dan operasi mengawal perairan Sabah dan Sarawak namun ianya juga boleh digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Vaksin Comirnaty akan diberikan kepada warga TLDM di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) di Sandakan, Rejimen 516 Askar Wataniah dan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) di Kem Kukusan Tawau.

Ianya juga akan diagihkan kepada Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di Semporna, Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) Kem Kinabatangan di Sandakan serta Batalion ke-7 RAMD di Kem Kabota Tawau mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *