Bekas pengurus kanan GLC Sabah ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan dianggarkan bernilai RM170,000

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 51 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, suspek difahamkan menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pengubahsuaian rumah miliknya daripada seorang kontraktor.

“Ia sebagai balasan bagi melancarkan segala tuntutan bayaran bagi kerja yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, dalam masa terdekat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *