Mahkamah benarkan penangguhan interim hukuman mati Pausi, Roslan

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membenarkan penangguhan interim bagi hukuman mati ke atas warga Malaysia dari Sabah yang lembam atau memiliki tahap IQ rendah, Pausi Jefridin, serta rakyat Singapura, Roslan Bakar, susulan satu rayuan yang difailkan.

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), hari ini, Pausi dan Roslan yang juga mempunyai tahap IQ rendah, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah pada 2010.

Kedua-duanya dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati, hari ini.

Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty memberitahu FMT, kos keselamatan sebanyak S$20,000 (RM62,000) perlu disediakan sebelum jam 1.45 tengah hari tadi.

Peguam mewakili Pausi dan Roslan telah memfailkan semakan kehakiman yang baharu, petang semalam, dalam usaha menghentikan pelaksanaan hukuman itu, selepas cubaan sama terdahulu pada hari sama ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Kedua-dua lelaki itu berada dalam senarai menunggu hukuman mati sejak 12 tahun lalu, dan dilaporkan hanya dimaklumkan pada Rabu minggu lalu bahawa mereka akan menjalani hukuman itu, hari ini.

Pausi dan Roslan didapati bersalah menyeludup dadah jenis diamorfin seberat 96.07 gram (g) dan methamphetamine seberat 76.37g pada 2010.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) bahawa walaupun Pausi disahkan kurang upaya intelektual dengan IQ pada tahap 67, masalah kurang upaya itu ditolak hakim mahkamah.

Penghakiman dilapor menyatakan bahawa ‘tahap IQ yang rendah bukan bukti minda tidak normal.’

Sebelum ini, seorang lagi warga Malaysia dengan IQ rendah, Nagaenthran K Dharmalingam, turut berdepan hukuman mati pada 10 November 2021.

Namun, dia diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan dan bakal berdepan proses rayuan. – AGENSIBERITA BERKAITAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *