Profesor buat tuntutan palsu RM66,000
KOTA KINABALU: Seorang pensyarah berstatus profesor di sebuah universiti negeri ini, bakal didakwa kerana mengemukakan tuntutan palsu membabitkan dana penyelidikan berjumlah lebih RM66,000.
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada jam 10 pagi hari ini.
Sumber berkata, profesor terbabit dipercayai mengemukakan tuntutan palsu antara 2014 hingga 2017 ketika bertugas sebagai pengarah institut di universiti berkenaan.
Difahamkan, tuntutan palsu itu membabitkan dana penyelidikan namun tiada perbelanjaan dilakukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat,” katanya. -BH