VAKSINASI COVID-19 UNTUK IBU MENGANDUNG

YB Datuk Seri Rina Mohd Harun telah bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin serta YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membuat tinjauan dan pemantauan sesi vaksinasi kepada 2,600 orang ibu-ibu mengandung iaitu mereka yang usia kandungannya antara 14 hingga 33 minggu di PPV Sunway Pyramid Convention Centre (SPCC).

Sehingga 25 Jun 2021, sebanyak 110,000 pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera telah direkodkan di kalangan ibu-ibu yang mengandung di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 11,663 orang dijangka bersalin (Estimated Date of Delivery) pada bulan Ogos nanti. Ibu-ibu mengandung ini telah diberi keutamaan berdasarkan EDD mereka.

Saya turut berkesempatan bertanya khabar dan perasaan para ibu mengandung yang sedang menunggu giliran mereka divaksin. Syukur alhamdulilah, mereka nampaknya teruja dan berfikiran positif tentang kebaikan vaksinasi kepada diri dan bayi yang dikandungkan.
Dalam hal ini, saya menyeru agar ibu-ibu hamil yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin agar dapat membuat pendaftaran dan mengemaskini status kehamilan di Aplikasi MySejahtera. Sesungguhnya ibu yang mengandung merupakan kumpulan yang berisiko tinggi jika dijangkiti COVID-19 kerana sistem imuniti badan mereka lebih rendah berbanding orang dewasa lain yang tidak mengandung.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) juga telah memaklumkan bahawa ketiga-tiga vaksin iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac kini sesuai untuk ibu hamil dan menyusu oleh kerana manfaatnya yang jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji.

Di samping itu, kit untuk ibu bersalin turut disampaikan kepada ibu-ibu yang bertuah ini. Setinggi ucapan tahniah buat ibu-ibu yang telah menerima vaksinasi dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Semoga dengan vaksin yang diterima, imunisasi buat ibu dan bayi dalam kandungan akan bertambah baik, seterusnya memberikan keselamatan dan kesihatan buat ibu dan anak yang bakal dilahirkan kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *