PENINGKATAN KADAR VAKSIN SEBAGAI ‘KEKEBALAN’ RAKYAT -MASIDI

KOTA KINABALU : Penularan Covid-19 di Sabah semakin tidak terkawal sehingga sebanyak 60 peratus kontak rapat menyumbang kepada 640 kes harian pada hari ini. Pergandaan berlaku apabila saringan semakin giat dilakukan untuk mengesan penularan yang berlaku.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus menjalankan pemberian dos vaksinasi secara besar – besaran sehingga mencecah 50,000 dos sehari. Pemberian dos vaksinasi ini akan dipertingkatkan lagi apabila stok vaksin ditambah kelak.
Dalam sebuah kenyataan media, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menekankan bahawa pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) dan peningkatan kadar vaksinasi adalah solusi berkesan dalam menangani pandemik ini.
“Pematuhan SOP secara menyeluruh akan membantu kita mengelak daripada dijangkiti. Vaksinasi juga memberi kita kekebalan daripada jangkitan virus sehingga 90 peratus,” jelasnya.
Masidi turut menegaskan pentingnya penerimaan dos vaksin agar kesan yang lebih teruk apabila dijangkiti dapat dikurangkan. Kendatipun jangkitan masih boleh berlaku, Masidi berharap usaha pemberian vaksin ini dapat mengurangkan keperluan penerimaan rawatan di hospital apabila terjangkiti oleh Covid-19.