Lebih 3000 Kes Jangkitan Covid-19 di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU : Malaysia merekodkan peningkatan kes kepada 20,837 kes baharu jangkitan Covid-19 menjadikan kumulatif kes jangkitan di negara ini mencecah 1,593,602 kes.
Sabah sering dilaporkan dengan kes empat angka kebelakangan ini dan hari ini, Sabah telah mencecah jumlah kes jangkitan melebihi 3,000 kes iaitu 3,376 kes jangkitan dilaporkan pada 24 Ogos 2021.
Menurut jurucakap rasmi Covid-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, peningkatan kes pada hari ini adalah amat meresahkan dan kadar penerimaan suntikan vaksinasi perlu ditingkatkan bagi menangani pandemik ini.
Masidi turut menegaskan bahawa rakyat perlu terus berdisiplin dan mengamalkan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat terutama bagi mereka yang berada di kawasan awam.
Melihat kepada keadaan negeri Sabah yang memiliki banyak kes jangkitan sporadik, Masidi percaya suntikan vaksin dapat mengurangkan kadar penularan virus serta mengelakkan keadaan yang lebih kronik.
Setakat kelmarin, 1.52 juta penduduk negeri itu telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Seramai lebih kurang 1.47 juta atau 52.4 peratus penduduk Sabah telah menerima suntikan dos pertama manakala 30 peratus atau 854,228 penduduk telah menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19.