RM4.259 juta untuk naik taraf

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4.259 juta untuk kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf kemudahan di daerah ini.

Daripada jumlah itu, RM1.259 juta diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf Pasar Umum Sandakan, manakala RM1.4 juta untuk membaiki tempat letak kereta di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan RM1.6 juta untuk menaiktaraf tempat letak kereta di Kampung Sim-Sim.

Menurut beliau, peruntukan telah diberi dan ia terpulang kepada Majlis Perbandaran Sandakan untuk mulai melaksanakan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf.

“Saya telah mengadakan lawatan kerja di Sandakan termasuk melawat Pasar Umum Sandakan. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk membaikpulih pasar ini kerana banyak yang perlu dibaiki, dicat dan sebagainya.

“Kita berharap dengan pembaikan dan penaikantaraf ini, keadaan di pasar ini akan dapat memberi keselesaan kepada pengunjung dan juga peniaga.

“Begitu juga dengan pembaikan tempat letak kereta di HDOK Sandakan dan Kampung Sim-Sim yang mana kita harap dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa untuk beramah-mesra bersama peniaga di pasar sayur, ikan dan daging.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai aktiviti bazar Ramadan yang tidak dibenarkan di Sabah pada tahun ini, Hajiji berkata tindakan itu diambil bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Katanya, selain bazar Ramadan, banyak lagi perkara atau aktiviti yang sepatutnya diadakan tetapi terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan dengan tujuan untuk memastikan keselamatan rakyat dari penularan wabak itu – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.